Bah Thailand jejas banyak firma Jepun

47 downloads 4240 Views 53KB Size Report
8 Nov 2011 ... Hampir 90 peratus kamera DSLR Nikon dihasilkan di Thailand. ... beberapa bulan ke depan, kita pun mesti bersiap dengan naiknya harga-.
8 Nov 2011 KOMENTAR E-MEL DARI TOKYO

Bah Thailand jejas banyak firma Jepun Oleh Arief Yudhanto HARI Ini tepat 100 hari Thailand dilanda 'tsunami air berlumpur' atau bah. Sebutan 'tsunami air berlumpur' ini dikatakan pertama kali oleh presiden firma Jepun yang kilang-kilangnya terkena banjir di Thailand. Pada Mac tahun ini, Jepun dilanda gempa yang kuat yang diikuti dengan tsunami dan kebocoran radiasi loji nuklearnya. Sedang Jepun cuba bangkit, bah di Thailand ibarat menimpakan kesan ke atas ekonomi luarannya bak sudah jatuh ditimpa tangga. Banjir yang melanda Thailand sejak 31 Julai lalu menjejas ratusan firma Jepun di sana. Namun, yang lebih parah, banjir ini juga memakan mangsa 400 jiwa. Ia menyebabkan 2.3 juta harus mengungsi (melarikan diri) dan Thailand menderita kerugian $6.45 bilion. Banjir itu bermula di Thailand Utara. Pada Julai, hujan deras menerpa Chiang Mai. Curahan hujan saat itu lebih tiga kali ganda daripada tahun-tahun sebelumnya. Banjir pun tidak dapat dielakkan. Daripada Thailand Utara, banjir mengalir ke wilayah tengah, iaitu Sungai Chao Phraya. Provinsi Ayutthaya, sebelah utara Bangkok, pun terendam. Sebenarnya, ketika curah hujan tinggi itu, suasana politik di Thailand sedang menghangat. Pemilihan perdana menteri baru Thailand diadakan pada 5 Ogos lalu. Pada 8 Ogos, perdana menteri wanita pertama dalam sejarah Thailand, Cik Yingluck Shinawatra, terpilih. Dua hari setelah mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 10 Ogos, Cik Yingluck mengumumkan keadaan kecemasan. Cik Yingluck meminta Menteri Keadilan Pracha Promnok supaya memulihkan keadaan. Encik Pracha menyatakan baru-baru ini bahawa tidak ada satu pun kawasan di Bangkok yang selamat daripada banjir.

Di sebelah utara Bangkok, tujuh kawasan industri di tepi Sungai Chao Phraya juga terendam. Tujuh kawasan ini merupakan asas perekonomian yang paling penting di Thailand. Menurut Kementerian Perburuhan, tujuh kawasan industri itu berisi 10,827 kilang lokal dan negara asing. Di tujuh kawasan industri, ada sekitar 449 kilang Jepun yang dilanda banjir: Saha Rattana Nakorn (35 daripada 42 kilang termasuk Ajinomoto, Calpis, Shibaura); Rojana (147 daripada 218 kilang termasuk Honda dan Nikon); Factoryland (lima daripada 14 kilang); Hi-Tech (100 daripada 143 kilang termasuk Canon dan Sony); Bang-Pa-In (30 daripada 84 kilang termasuk Teijin dan Meidensha); Nava Nakorn (104 daripada 190 kilang termasuk NEC dan Fujikura); dan Bangkadi (28 daripada 34 kilang termasuk Toshiba dan Asahi Intec). Kawasan industri Saha Rattana Nakorn Industrial Estate yang berada 100 kilometer di utara Bangkok merupakan kawasan yang terendam pertama kali, iaitu pada 4 Oktober. Banjir lalu merembet ke selatan dan mengenai Rojana pada 8 Oktober dan Hi-Tech Industrial Estate di Ayutthaya pada 13 Oktober. Ada tiga jenis industri Jepun yang terjejas dek banjir Thailand: kereta, alat-alat elektronik dan makanan. Antara firma kereta Jepun, Toyotalah yang paling menderita. Kilang kereta Toyota di Thailand merupakan yang ketiga terbesar di dunia, selepas di Amerika Syarikat dan China. Kesemua kilang Toyota menghasilkan 630,000 kereta setiap tahun. Banjir Thailand juga menyebabkan penghasilan komponen-komponen kereta terhenti. Akibatnya, Toyota terpaksa menghentikan juga operasi empat kilang kereta di Amerika Utara. Kilang-kilangnya berada di Ontario (Canada) dan Indiana, Kentucky dan West Virginia (Amerika). Setiap minggu kilang-kilang Toyota di Amerika Utara itu boleh menghasilkan 25,000 kereta. Namun, setelah penghentian empat kilang itu, angka penghasilannya turun beberapa ribu. Keuntungan Toyota kian merosot. Gempa Jepun di kawasan timur pada Mac lalu saja telah menurunkan keuntungan Toyota sebanyak 8.9 peratus. Selain Toyota, Isuzu, Nissan dan Honda juga terjejas oleh banjir Thailand.

Isuzu dan Nissan bernasib sama dengan Toyota. Produksi kereta mereka terhenti sementara kerana mereka tidak boleh mendapat bekalan komponen dari kilang-kilang di Thailand. Kilang di kawasan Rojana, Ayutthaya, merupakan aset terbesar Honda kerana ia boleh menghasilkan 240,000 kereta setahun. Honda belum boleh memastikan bila kilangnya dapat beroperasi lagi. Mereka mungkin menunda pelancaran Honda Brio yang dicadangkan akan keluar di pasaran akhir tahun ini. Akihabara di pusat Tokyo mirip Sim Lim Square di Singapura. Kawasan ini merupakan pusat penjualan alat-alat elektronik terbaru. Kesan daripada banjir Thailand terasa juga di Akihabara. Harga alat-alat komputer di sini, misalnya, pemacu cakera liat (hard disk drive), naik hampir dua kali ganda. Motor magnetik di dalam cakera liat sebahagiannya dihasilkan di Thailand oleh Nidec. Nidec Thailand berhenti beroperasi sejak 10 Oktober. Malangnya, lebih 50 peratus motor cakera liat di dunia dihasilkan di Thailand. Hal ini akan menjejas penjualan komputer di seluruh dunia. Kilang milik Nikon yang membuat kamera digital refleks kanta tunggal (DSLR) juga terendam banjir. Hampir 90 peratus kamera DSLR Nikon dihasilkan di Thailand. Sayangnya, tidak ada yang boleh memastikan bila mereka menghasilkan kamera DSLR lagi. Begitu juga Canon. Penghasilan pencetaknya (printer) juga terjejas dan terhenti penghasilannya. Agaknya, huraian jangka pendek yang paling tepat bagi firma-firma Jepun ialah memindahkan kilang ke luar Thailand. Mereka memang sedang bercadang memindahkan sebahagian kilang masing-masing ke Filipina, Indonesia dan Vietnam. Sementara itu, dalam beberapa bulan ke depan, kita pun mesti bersiap dengan naiknya hargaharga kereta, kamera digital dan komputer kerana rendahnya bekalan.