BENARKAH KITA MENCINTAI RASULULLAH S.A.W ... - Masjid Abidin

48 downloads 84 Views 974KB Size Report
adalah dengan kita mengikut segala tatacara hidup Rasulullah s.a.w dan menurut ... apabila kita mendengar atau membaca sejarah hidup Rasulullah s.a.w..
BIL. 19/ 18 Januari 2013 - 6 Rabi’ul Awwal 1434

BENARKAH KITA MENCINTAI RASULULLAH S.A.W ? Oleh: Ustaz Wan Mohd Hazim Bin Wan Mohd Hashim Pegawai Masjid (Imam iii), Masjid Abidin (Masjid Negeri), Terengganu Darul Iman Bulan kelahiran pemimpin agung kembali bertandang lagi kali ini. Sudah kelihatan bermacam-macam iklan sambutan hari yang penuh berkat ini di awal bulan Rabi’ul Awwal lagi di mana-mana tempat awam. Dalam persiapan kita menyambut hari kelahiran insan tercinta ini, perlu untuk kita sisipkan pada pemikiran kita bahawa rasa cinta dan kasih kita kepada Rasulullah s.a.w bukan setakat kita tunjukkan rasa bergembira dengan perarakan dan alunan selawat sahaja bahkan rasa kasih dan cinta yang sebenar adalah dengan kita mengikut segala tatacara hidup Rasulullah s.a.w dan menurut ajaran yang dibawa oleh baginda secara keseluruhannya. Firman Allah s.w.t:

                Maksudnya: “ Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. ” (Surah Ali ‘Imran: 31) Multidimensi Kehidupan Rasulullah Pakar motivasi ada menyatakan bahawa, “Apa yang kita lihat itulah yang kita dapat.” Begitulah gambaran pandangan kita kepada kehidupan Rasulullah s.a.w. Ada orang memandang Rasulullah adalah seorang yang kuat ibadahnya sehingga bengkak kakinya dan sehingga berjam-jam berdiri di dalam solatnya. Ada orang melihat Rasulullah s.a.w adalah seorang yang romantik dengan isteri baginda sehingga dapat bergurau senda dan minum bekas air yang sama diminum oleh isterinya. Tidak kurang ada juga orang yang melihat Rasulullah seorang pahlawan yang gagah berani sehingga mampu menewaskan lawan dalam peperangan secara fizikal mahupun mental. Ini semua adalah gambarangambaran yang timbul apabila kita mendengar atau membaca sejarah hidup Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w sebetulnya hendaklah dilihat dan diambil secara keseluruhan aspek atau secara multidimensi. Jika perkara ini jelas, maka tidak akan timbul soal hendak beribadah dan berdakwah sahaja dengan tidak memikirkan soal keluarga dan tanggungjawab sosial. Begitu juga tidak akan timbul soal hendak bekerja menyara keluarga sahaja dengan meminggirkan pula soal ilmu pengetahuan agama dan semasa. Oleh yang demikian, jalan keluar terbaik untuk masalah ini adalah dengan meluaskan pandangan kita kepada gaya kehidupan Rasulullah s.a.w. Apa yang pasti baginda Rasulullah s.a.w tidak akan meninggalkan kita dalam keadaan yang kita tidak dapat langsung merujuk contoh daripadanya. Ini jelas berdasarkan firman Allah s.w.t di dalam al-Quran:

                    Maksudnya: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingati Allah. ” (Surah al-Ahzab: 21)

MAKALAH DAKWAH

‫ﻣﻘﺎﻟ ﺔ اﻟ ﺪﻋﻮة‬

Rujukan Terbaik Meneladani Rasulullah Pernah ditanyakan kepada isteri baginda Rasulullah s.a.w iaitu Sayyidatina ‘Aisyah r.anha bagaimanakah akhlak Nabi s.a.w? Lalu Sayyidatina ‘Aisyah r.anha menyatakan bahawa:

‫ﻛﺎن ﺧﻠﻘﻪ اﻟﻘﺮآن‬ Maksudnya: “ Akhlak Nabi s.a.w adalah (isi kandungan) al-Quran itu sendiri.” Kenyataan isteri baginda Rasulullah s.a.w ini jelas menerangkan kepada kita apa yang menjadikan diri Rasulullah s.a.w begitu hebat dan mantap tidak lain ialah al-Quran itu sendiri. Inilah sumber inspirasi terbaik yang perlu dirujuk terlebih dahulu jika benar kita ingin meneladani baginda Rasulullah s.a.w. Al-Quran merupakan satu-satunya kitab yang diturunkan daripada kerajaan langit dan bumi kepada kehidupan manusia yang masih berstatus original berbanding kitab-kitab lain seperti Taurat, Injil dan Zabur. Ini adalah kerana jaminan yang diberikan oleh Sang Pencipta kepada kitab al-Quran berbanding kitab-kitab lain sebagaimana firman Allah s.w.t:

        Maksudnya: “ Sesungguhnya Kami(Allah) yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya kami benarbenar memeliharanya. ” (Surah al-Hijr: 9) Istimewanya kitab al-Quran bukan sahaja menyentuh aspek ketuhanan semata-mata namun lebih daripada itu ia membantu manusia mencari jati diri, semangat dan ketajaman akal. Patutlah Rasulullah s.a.w amat cekal peribadinya kerana didikan yang diperolehi baginda adalah didikan Pencipta al-Quran itu sendiri. Rasulullah, al-Quran dan Kita Ada sesuatu yang menarik apabila Allah s.w.t telah menetapkan dalam takdirNya bahawa hanya al-Quran sahaja kitab yang masih original isi kandungan serta ayat-ayatnya berbanding kitab-kitab lain dan dalam pada masa yang sama juga Allah s.w.t menyebut bahawa Rasulullah adalah ikutan paling terbaik dalam segenap urusan kehidupan kita. Apabila diamati dan diperhatikan secara halus, satu rahsia yang perlu kita ketahui dalam penentuan takdir Allah s.w.t ini adalah supaya kita tidak memisahkan diri kita daripada al-Quran jika kita benar-benar cintakan Rasulullah s.a.w. Jika Allah s.w.t menentukan bahawa al-Quran juga tidak akan kekal keasliannya, maka bagaimana mungkin kita umat Rasululullah mahu merujuk contoh peribadi baginda sedangkan telah dinyatakan bahawa akhlak peribadi baginda itu adalah al-Quran. Justeru dikekalkan keaslian al-Quran adalah untuk kita mudah merujuk peribadi Rasulullah di dalam kitab yang suci ini. Namun persoalannya, berapa ramaikah yang sudah merujuk kitab ini dengan membacanya setiap hari? Berapa ramaikah lagi yang belum dapat membaca kitab ini dengan baik dan betul sebutannya. Berapa ramaikah lagi yang hanya menjadikan ayat-ayat kitab ini sebagai pameran didinding rumah dan pejabat tanpa menyentuhnya dan menekuni maknanya? Inilah realiti sebenar ukuran kecintaan kepada Rasulullah s.a.w. Kecintaan kepada Rasulullah s.a.w tidak boleh dipisahkan dengan budaya pembacaan al-Quran di dalam kehidupan kita. Tiada guna jika dalam perkara lain kita boleh menjadi johan namun dalam bab pembacaan al-Quran kita tidak dapat menjadi johan dengan bacaan yang tunggang langgang apatah lagi untuk memahami isi kandungan alQuran. Ketahuilah, sejauh mana budaya pembacaan al-Quran kita telah praktikkan dalam kehidupan sedalam itulah cinta kita kepada baginda Rasulullah s.a.w. MAKLUMAN! Makalah Dakwah adalah suatu penulisan ringkas berbentuk ilmiah yang diterbitkan dua minggu sekali di bawah Unit Dakwah & Informasi, Masjid Abidin (Masjid Negeri), Terengganu Darul Iman. Makalah Dakwah boleh didapati pada setiap hari Jumaat minggu pertama dan ketiga setiap bulan mengikut kalendar Masehi di dewan solat muslimin dan muslimat. Sebarang teguran daripada muslimin dan muslimat amatlah dialu-alukan bagi menambah baik pengurusan pengimarahan masjid.

Terbitan : Unit Dakwah & Informasi, Masjid Abidin (Masjid Negeri), Terengganu Darul Iman