Pengaplikasian ICT Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran ...

266 downloads 305291 Views 145KB Size Report
al-quran dan tulisan jawi dengan sempurna. Di samping itu .... 10 Saya menggunakan kemudahan komputer untuk membuat latihan bagi sesuatu aktiviti  ...
Pengaplikasian ICT Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Pendidikan Islam: Kajian Di Kalangan Graduan Pendidikan Islam UTM Noraffandy bin Yahaya (Phd), Siti Fatimah Ahmad , Mohamad Bilal Ali (Phd) dan Megat Aman Zahiri Megat Zakaria Jabatan Multimedia Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia 81310 Skudai Johor, Malaysia [email protected]

ABSTRAK Penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran semakin memberangsangkan dalam dunia pendidikan termasuk Pendidikan Islam. Oleh itu, kajian ini dijalankan adalah untuk mengenalpasti pengaplikasian ICT dalam P&P Pendidikan Islam di kalangan graduan SPI UTM. Kajian ini juga adalah untuk melihat sejauh mana tahap kemahiran ICT serta mengenalpasti masalah pengaplikasian ICT dalam P&P. Seramai 122 orang graduan SPI tahun 2004, 2006 dan 2007 telah dipilh sebagai sampel kajian. Alat kajian yang digunakan ialah soal selidik yang mengandungi 4 bahagian. Nilai kebolehpercayaan alat kajian ialah α=0.93. Dapatan dianalisis menggunakan perisian Statistical Package For Social Science (SPSS) versi 16.0 serta penganalisisan dibuat secara kaedah statistik deskriptif iaitu dalam bentuk kekerapan, peratusan serta min. Hasil daripada kajian ini menunjukkan tahap pengaplikasian ICT dalam P&P berada pada tahap sederhana (min =3.30), tahap penguasaan kemahiran ICT berada pada tahap tinggi (min=3.88) dan masalah pengaplikasian ICT pula menunjukkan responden tidak mengalami masalah yang serius dalam P&P (min =4.03). Berpandukan hasil kajian, penyelidik telah mengutarakan beberapa cadangan bagi membantu pihak Kementerian Pelajaran, Fakulti Pendidikan UTM dan guru Pendidikan Islam khususnya bagi meningkatkan penggunaan ICT dalam P&P Pendidikan Islam selari dengan kemajuan pendidikan Negara.

PENGENALAN Dalam memperkatakan teknologi dalam pendidikan, teknologi telah dibuktikan dapat meningkatkan produktiviti, menambahkan motivasi, menyokong pengajaran secara tidak langsung, kebolehan pengajaran yang bersifat unik, dan meningkatkan literasi maklumat. Dalam hal ini, Hokanson & Hooper (2004) telah mengkaji penggunaan secara efektif keperluan teknologi yang semakin bertambah dan ingin melihat cara guru menggunakan teknologi dan sebab mereka menggunakannya. Mereka juga memfokuskan peranan utama pendekatan pedagogi yang digunakan dalam pengajaran di bilik darjah. Terdapat beberapa isu yang sering dikaitkan dalam pengajaran menggunakan komputer. Roslaini Anuar (2006) dalam kajiannya menyatakan bahawa keadaan yang menjadikan pengajaran tersebut tidak berkesan ialah kurangnya persediaan guru untuk membangunkan pengajaran yang berbantukan komputer. Di samping itu terdapat juga permasalahan dari segi perkakasan, perisisan, sikap guru dan pentadbir, kemudahan infrastuktur yang mempengaruhi keberkesanan pelaksanaan dalam bilik darjah. Pengajaran Pendidikan Islam tidak terkecuali daripada pengaruh teknologi maklumat dan komunikasi. Walaupun pelajaran Pendidikan Islam hanya melibatkan penguasaan keagamaan yang kelihatannya agak mudah untuk dikuasai, namun masih terdapat beberapa isu yang dianggap boleh mengganggu keberkesanan pengajaran. Masalah tersebut termasuklah penguasaan kemahiran asas dalam ibadah, pemahaman konsep dan sebagainya. Pada tahap yang lebih tinggi, masih terdapat pelajar yang tidak dapat memahami ayat al-quran dan tulisan jawi dengan sempurna. Di samping itu, pelajar sekolah menengah dalam penguasaan menulis jawi juga perlu diberi perhatian untuk memastikan objektif pengajaran Pendidikan Islam tercapai. Penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran dikatakan dapat

38   

mempermudahkan tugas serta meningkatkan prestasi guru dalam kerja pengurusan, pengajaran dan pembelajaran. Oleh hal yang demikian, penggunaan ICT dalam pengajaran Pendidikan Islam dilihat sebagai satu usaha yang sesuai untuk memberikan impak terhadap permasalahan yang dihadapi. Sebagai alat bantu pengajaran yang terkini sifatnya, penggunaan komputer dilihat sebagai usaha yang mampu mengubah persepsi pelajar terhadap pembelajaran Pendidikan Islam. Guru Pendidikan Islam sebagai pengendali pengajaran, perlu mempunyai keterampilan dalam mengendalikan pengajaran bahasa berbantu komputer. Walaupun terdapat kesukaran dalam melaksanakannya, guru perlu bersedia dengan kemahiran dan pengetahuan selaras dengan keperluan pendidikan kini yang memerlukan pengajaran lebih berpusatkan pelajar. Oleh itu, kajian ini mengkaji pengaplikasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam, tahap penguasaan kemahiran ICT, serta masalah yang dihadapi dalam mengaplikasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran dan cadangan untuk meningkatkan penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam. Pengaplikasian ICT Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Seiring dengan perkembangan Teknologi Maklumat dalam bidang pendidikan di Malaysia, guru hendaklah menguasai kemahiran teknologi maklumat. Antara kemahiran teknologi maklumat yang perlu dikuasai oleh guru ialah kemahiran pemprosesan data, membina persembahan elektronik, membangunkan perisian, membina laman web dan sebagainya. Kaedah pengajaran konvensional masih lagi menjadi pilihan utama guru di zaman teknologi terkini. Dalam bidang pendidikan, teknologi semakin canggih. Namun begitu, guru-guru lebih selesa menggunakan kaedah konvensional dalam pengajaran dan pembelajaran serta tidak mengaplikasikan penggunaan teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka. Menurut Zuraidah dan Julia (2007), masalah fobia komputer di kalangan guru menyebabkan antara kekangan yang dihadapi dalam menggunakan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran. Kekurangan guru terlatih dalam bidang komputer adalah antara kelemahan penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Walaupun program latihan komputer serta kursus ICT yang telah diberikan kepada para guru dari masa ke semasa, namun masih terdapat ramai guru sukar menguasai kemahiran teknologi maklumat dan penguasaan mereka masih rendah (Aida Sazlin, 2006).. Penggunaan komputer telah lama bertapak di Malaysia dengan perlaksanaan program komputer dalam pendidikan telah bermula sejak tahun 1998. Agenda pendidikan yang dirancangkan ini didapati kurang berjaya dilaksanakan disebabkan banyak masalah yang timbul berkaitan prasarana, sikap dan penerimaan para guru sendiri. Walaupun graduan Pendidikan Islam terlatih sebagai guru Pendidikan Islam yang mempunyai kemahiran ICT, penyelidik cuba mengkaji sejauh mana pengaplikasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam di kalangan graduan Pendidikan Islam dalam alam pendidikan sebenar di sekolah. Di samping itu juga, penyelidik ingin melihat penguasaan kemahiran ICT serta faktor kekangan dalam mengaplikasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran. Seperti yang kita ketahui, walaupun mata pelajaran Pendidikan Islam tidak diwajibkan penggunaan bahan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran sebagaimana matapelajaran Sains dan Matematik, namun penggunaan teknologi pendidikan yang semakin meluas dalam bidang pendidikan di Malaysia. Penubuhan Sekolah Bestari mencetuskan era perubahan dan kemajuan dalam bidang pendidikan untuk mengaplikasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran tidak terkecuali juga guru-guru Pendidikan Islam. Tambahan pula, graduan Pendidikan Islam yang telah dilahirkan dari FP UTM adalah guru-guru yang mempunyai kemahiran ICT yang tinggi mampu memberi impak yang baik dalam mempraktikkan segala ilmu yang dipelajari di UTM untuk diaplikasikan dalam dunia pekerjaan sebenar. Dengan ilmu dan kemahiran yang dibekalkan kepada graduan Pendidikan Islam UTM, sejauh manakah pengaplikasian teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam? Bagaimana pula kemahiran graduan Pendidikan Islam dalam bidang Teknologi Pendidikan ini dan apakah masalah yang menghalang graduan Pendidikan Islam UTM ini menpraktikkan ilmu yang telah diperolehi sepanjang pengajian mereka di Universiti Teknologi Malaysia ini. Persoalan Kajian Persoalan yang akan penyelidik perbahaskan dalam kajian adalah seperti berikut:

39   

i. Sejauh manakah graduan Pendidikan Islam UTM mengaplikasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam? ii. Apakah tahap penguasaan kemahiran ICT di kalangan graduan Pendidikan Islam UTM? iii. Apakah masalah yang dihadapi oleh graduan Pendidikan Islam UTM dalam mengaplikasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran?

Metodologi Kajian Kajian ini berbentuk kuantitatif analisis deskriptif. Ia dilaksanakan secara tinjauan, iaitu untuk melihat pengaplikasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam, tahap penguasaan kemahiran ICT dan masalah pengaplikasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran. Kajian ini melibatkan graduan Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Pengajian Islam) Fakulti Pendidikan UTM yang telah ditempatkan di sekolah-sekolah menengah dan IPT. Populasi kajian ini terdiri daripada graduan Pendidikan Islam tahun 2004, 2005 dan 2006 Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia. Menurut data yang diperolehi daripada Pejabat Akademik Fakulti Pendidikan, jumlah populasi graduan Pendidikan Islam tahun 2004, 2005 dan 2006 adalah seramai 172 orang. Instrumen yang digunakan dalam kajian ini berbentuk soal selidik. Data-data yang dikumpulkan dianalisis dengan menggunakan program Statistical Package For Social Science Version 16.0 for Windows (SPSS) iaitu suatu perisian komputer bagi menganalisis data kajian iaitu peratusan dan min. Soal selidik ini mengandungi empat bahagian iaitu bahagian A, bahagian B, bahagian C dan bahagian D. Bahagian A merupakan bahagian yang mengandungi soalan-soalan demografi yang berkaitan dengan jantina, tahun graduan, tempat mengajar dan pengalaman dalam perkhidmatan pendidikan dalam pengajaran dan pembelajaran. Manakala untuk bahagian yang seterusnya (soal selidik) iaitu bahagian B, C dan D ini mengandungi soalan-soalan yang berkaitan pengaplikasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam, tahap kemahiran ICT dan masalah pengaplikasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran. DAPATAN DATA DAN PERBINCANGAN Analisis Dapatan Soal Selidik Bagi persoalan kajian satu, dua dan tiga, data dianalisis dengan statistik deskriptif iaitu melihat berdasarkan peratusan dan min. Keputusan kajian akan dinyatakan dalam bentuk jadual kekerapan. Berdasarkan dapatan kajian yang telah dijalankan, taburan responden bagi jantina mendapati responden perempuan 70.5% dan selebihnya responden lelaki iaitu seramai 29.5%. Bagi peratusan mengikut tahun graduan responden mendapati kebanyakan responden terdiri daripada mereka yang telah menerima ijazah pada tahun 2006 iaitu seramai 51 orang (41.8 %). 36.1% responden pula adalah graduan yang menerima ijazah pada tahun 2007 dan 22.1% pula adalah graduan yang menerima ijazah pada tahun 2004. Taburan bagi penempatan mengajar responden lepasan Ijazah Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Pengajian Islam) antaranya ialah 70 responden (57.4%) mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), 19 responden (15.6%) adalah responden yang mengajar di Sekolah Menengah Teknik (SMT), 15 responden (12.3%) adalah responden yang mengajar di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), 16 responden (13.3%) adalah responden yang mengajar di Politeknik dan dua responden (57.4%) adalah responden yang mengajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Pengaplikasian ICT Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Dapatan kajian bagi pengaplikasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran dinyatakan seperti Jadual 2 di bawah.

2

Jadual 2: Min Pengaplikasian ICT Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Item Min Saya menggunakan perisian PBK yang sedia ada dalam proses 3.65 P&P Saya membangunkan perisian PBK untuk proses P&P saya 3.21

3

Saya membangunkan laman web berkaitan dengan P&P saya

Bil 1

2.44

40   

4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26

Saya memberikan latih tubi kepada pelajar mengunakan aplikasi komputer Simulasi berkomputer dapat membantu proses P&P saya Saya menggunakan perisian penyelesaian masalah dalam P&P saya Permainan berbentuk pengajaran amat berkesan dalam proses P&P saya Saya menggalakkan pelajar menggunakan teknologi ICT untuk berkongsi sesuatu pembelajaran dengan pelajar di sekolah-sekolah lain Saya menggalakkan pelajar mencari maklumat pembelajaran melalui internet Saya menggunakan kemudahan komputer untuk membuat latihan bagi sesuatu aktiviti pengukuhan pelajar (contoh: menggunakan perisian membuat kuiz) Saya mengaplikasikan pengajaran pemusatan pelajar (childcentered classrooms) dalam P&P saya Saya mengaplikasikan pengajaran berkonstruktif (constructivist teaching) dalam P&P saya Saya berkongsi dan bertukar pendapat sesama guru mengenai pengajaran dan pembelajaran menggunakan emel Saya berhubung dengan ibu-bapa pelajar menggunakan emel Saya berkomunikasi sesama guru menggunakan ruang sembang di internet Saya menggunakan emel untuk berhubung dengan pelajar Saya menggunakan ruang forum di internet untuk berbincang dengan pelajar Saya menggalakkan pelajar saya mencari maklumat di internet Saya mengaplikasikan pengajaran berasaskan sumber (resource based teaching) dalam P&P saya Saya selalu menggunakan komputer dalam P&P Saya selalu menaip dokumen berkaitan P&P menggunakan komputer Saya menggunakan sebagai alat pandang dengar bagi menggalakkan aktiviti P&P Saya menyediakan slide pengajaran saya menggunakan power point Saya menyediakan grafik menggunakan komputer dalam P&P Saya menggunakan file sharing dalam berkongsi bahan P&P Saya juga menggunakan FTP dalam P&P untuk mendapatkan bahan pengajaran MIN KESELURUHAN

2.84 3.75 3.09 3.61 3.32 3.52 3.19 3.82 3.72 3.20 1.94 2.73 2.72 2.44 4.06 3.67 3.73 4.44 3.40 3.93 3.61 2.93 3.06 3.30

Dapatan kajian bagi pengaplikasian ICT dalam P&P Pendidikan Islam mendapati purata min keseluruhan sebanyak 3.30. Ini menunjukkan tahap pengaplikasian ICT dalam P&P Pendidikan Islam berada pada tahap sederhana. Nilai min tertinggi dalam objektif yang pertama ialah 4.44 iaitu min bagi item ke 21 iaitu “Saya selalu menaip dokumen berkaitan P&P menggunakan komputer.” Hampir keseluruhan responden iaitu 92.6% responden didapati bersetuju dengan kenyataan yang diberikan. Hal ini menunjukkan penggunaan komputer sebagai tool atau alat kepada pengguna khususnya para guru dalam bidang pendidikan amat penting dalam era teknologi masa kini. Dapatan ini selari dengan dapatan kajian yang dijalankan oleh Hamdan Mohd Nawawi (2003) yang menunjukkan 83.3% guru menggunakan komputer dalam penyediaan nota pengajaran dan dapatan Harianti Rokman (2006) pula menunjukkan 67.9% responden selalu menaip dokumen berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran. Dapatan menunjukkan bahawa responden menggunakan komputer dalam pemprosesan data dan dokumen berkaitan dengan P&P. Kajian juga menunjukkan bahawa responden menggalakkan pelajar mereka mencari maklumat di internet iaitu sebanyak 82% responden memberi galakan kepada para pelajar dalam menggunakan internet sebagai salah satu medium pencarian maklumat. Dapatan item 6 menunjukkan guru juga menggunakan internet dalam

41   

menyelesaikan sesuatu masalah berkaitan P&P iaitu min sebanyak 3.09. Hal ini membuktikan bahawa penglibatan secara aktif oleh pelajar dalam mengakseskan bahan-bahan yang diperlukan dalam internet berupaya memupuk dan memperkembangkan kemahiran berfikir dan kreativiti di kalangan pelajar (Rashidi dan Abdul Razak 1997).Dapatan kajian juga menunjukkan hanya 21.3% responden sahaja yang membangunkan laman web berkaitan dengan P&P dan min berada pada tahap sederhana iaitu 2.44. Satu kajian yang dijalankan oleh Supyan, Afendi & Nackeeran (2002) yang meneliti penglibatan pensyarah BI di pusat-pusat pengajian tinggi mendapati bahawa hanya 19.2% sahaja daripada 52 orang pensyarah yang mempunyai tapak web mereka sendiri dan hanya 9.6% yang tahu membangunkan tapak web sendiri. Item 5 menunjukkan 75.4% responden bersetuju iaitu simulasi berkomputer dapat membantu proses P&P. Dapatan ini disokong oleh hasil temubual dalam kajian Shaharuddin Md Salleh et al. (2007), pelajar menunjukkan sikap yang positif dalam menggunakan simulasi menerusi web berdasarkan pembentukkan tema yang dikenalpasti di dalam kajian. Namun demikian, bagi item yang mendapat min terendah iaitu 1.94 menunjukkan kebanyakan responden tidak menggunakan email untuk berhubung dengan ibubapa. Tetapi, bagi penggunaan emel dalam berhubung dengan pelajar menunjukkan min berada pada tahap sederhana iaitu 2.72, begitu juga dengan penggunaan emel untuk berhubung sesama guru juga menunjukkan min berada pada tahap sederhana iaitu 3.20. Menurut Jane Lasarenko (1997), kebaikan yang utama menggalakkan pelajar berkomunikasi dengan guru melalui emel ialah ini dapat menanam semangat yang tinggi di kalangan pelajar dalam pembelajaran mereka. Selain itu, Cisco System Inc. iaitu sebuah syarikat teknologi maklumat yang menceburi bidang pendidikan menyebut bahawa melalui emel, para guru dan pelajar juga boleh berkomunikasi dengan sekolah-sekolah di seluruh negara bahkan di serata dunia hanya melalui makmal komputer atau bilik-bilik darjah (Jamaludin Badusah et al. 2000). Begitu juga dengan item ke 23 yang menunjukkan 74.6% responden menyediakan slide bahan pengajaran menggunakan Microsoft Power Point. Kajian Harianti Rokman (2006) bertentangan dangan dapatan kajian ini di mana hanya 59% guru Pendidikan Islam menyediakan slide presentation menggunakan perisian Microsoft Power Point. Penggunaan perisian ini amat sesuai sebagai bahan bantu mengajar kepada para guru dan amat mudah disediakan. Kajian ini juga menunjukkan 63.1% responden menggunakan komputer untuk menyediakan grafik dalam P&P. Ini menunjukkan min berada pada tahap sederhana iaitu 3.61. Kajian Harianti Rokman (2006) juga menunjukkan hasil dapatan yang sederhana dengan min sebanyak 3.38. Menurut Jamaluddin Harun dan Zaidatun Tasir (2005), penyediaan grafik digital di dalam proses P&P dikatakan mampu menarik perhatian pelajar di samping memudahkan lagi proses pemahaman sesuatu konsep yang ingin disampaikan. Bagi dapatan data responden membangunkan perisian PBK dalam proses P&P mendapati min berada pada tahap sederhana iaitu 3.21. Kajian Harianti Rokman (2006) juga mendapati 66.1% responden sanggup meluangkan lebih masa untuk menyediakan BBM berkomputer untuk P&P. Begitu juga dengan penggunaan perisian PBK sedia ada dalam P&P juga menunjukkan min kajian ini berada pada tahap sederhana iaitu 3.65. Menurut Jamaluddin Harun et al. (2001), CD PBK adalah gabungan pelbagai media termasuk grafik, animasi, audio dan sebagainya dan menjanjikan sebuah persembahan multimedia yang dinamik, menarik dan berkesan kepada para pelajar. Bagi dapatan data penggunaan komputer sebagai alat pandang dengar bagi menggalakkan aktiviti P&P mendapati min berada pada tahap sederhana iaitu 3.40. Dapatan ini disokong oleh kajian Harianti Rokman (2006) yang menyatakan hanya 42.9% responden sahaja yang menggunakan komputer sebagai alat pandang dengar. Menurut Lim Geok Ping (2003) dalam kajiannya menyatakan masalah kekurangan alat penyediaan peranti tambahan sebagai alat pandang dengar di dalam makmal merupakan satu punca masalah penggunaan komputer di kalangan guru-guru KHB. Item 40 menunjukkan 18.9% responden sahaja menggunakan ruang forum di internet untuk berbincang dengan pelajar. Min bagi item ini berada pada tahap sederhana iaitu 2.44. Kajian ini bertentangan dengan kajian Mahizer Hamzah (2007) yang menunjukkan perbincangan atas talian merupakan yang tertinggi iaitu 3.82. Ini jelas menunjukkan bahawa kandungan perbincangan amat penting dalam perbincangan atas talian dan ianya secara tidak langsung akan mengalakkan penggunaanya oleh pelajar. Item yang berkaitan dengan rangkaian pula menunjukkan pengaplikasian sistem File Transfer Protocol (FTP) memperolehi min sebanyak 3.06. Begitu juga dengan hasil kajian penggunaan perkongsian fail (file sharing) menunjukkan min berada pada tahap sederhana iaitu 2.93. Menurut Baharuddin Aris et al. (2003), penggunaan file sharing merupakan salah satu cara bagi mempermudahkan guru dalam pengajaran di bilik darjah. Secara umumnya, kajian mendapati responden memiliki tahap pengaplikasian ICT dalam P&P yang sederhana berdasarkan nilai purata min keseluruhan bagi objektif kajian yang pertama iaitu 3.30. Dapatan ini selari dengan dapatan kajian Roslaili Awang Nik (2007) yang menunjukkan bahawa kekerapan dan bentuk penggunaan ICT di kalangan guru pelatih UTM semasa latihan mengajar berada pada tahap sederhana. Kajian ini

42   

juga selari dengan kajian Lukman Dinyati (2008) juga menunjukkan kemahiran menggunakan ICT dan masalah-masalah penggunaan ICT di kalangan guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan di daerah Kluang adalah sederhana. Selain itu, Kajian Buniyah Bin Iman (2000) yang membuat Tinjauan Mengenai Penggunaan Komputer Di Kalangan Guru-guru Sekolah Menengah Agama Negeri, Daerah Kuala Terengganu juga menyokong di mana hasil dapatan kajian mendapati 68.7 peratus bersetuju menggunakan komputer sebagai alat penyediaan bahan bantu pengajaran, dan 55.9 peratus bersetuju menggunakan komputer sebagai media dalam pengajaran. Dari peratusan hasil kajian menunjukkan penggunaan komputer di kalangan guru-guru pada tahap positif.

Tahap Penguasaan Kemahiran ICT Dapatan kajian bagi tahap penguasaan kemahiran ICT dinyatakan seperti Jadual 3 di bawah. Bil 27 28 29 30 31 32 33 34 35 36 37 38 39 40 41 42 43 44 45 46 47

Jadual 3: Min Tahap Penguasaan Kemahiran ICT Item Saya menguasai perisian Microsoft Word Saya mahir menggunakan Microsoft Power Point Saya menguasai perisian Microsoft Access Saya mahir menggunakan Microsoft Excel Saya mahir membangunkan Cd-Rom pembelajaran Saya mahir membangunkan Laman Web Saya mahir menggunakan Perisian Animasi Saya mahir menggunakan Perisian Grafik Photoshop Saya mahir menggunakan perisian Audio Digital Saya mahir dalam penyuntingan Video Saya mahir menggunakan enjin pencari maklumat menggunakannya. Saya mengetahui cara menggunakan Email Saya mengetahui cara menggunakan perisian Chating Saya suka menggnakan ruang forum di internet untuk membincangkan perkara berkaitan P&P Saya mahir menggunakan sistem FTP Saya mahir menggunakan sistem rangkaian File Sharing Saya mahir mengendalikan Microsoft Window XP Saya mahir mengendalikan Microsoft Window VISTA Saya mahir mengendalikan LCD Projekter Saya mahir dengan perkakasan berkaitan teknologi ICT Saya mahir mengesan permasalahan alatan dan perisian ICT

Min 4.70 4.63 3.39 4.04 3.60 3.68 3.44 3.88 3.64 3.61 4.20 4.52 4.11 3.88 3.52 3.46 4.24 3.71 4.11 3.84 3.46

Dapatan kajian bagi tahap penguasaan kemahiran ICT di kalangan graduan Pendidikan Islam UTM mendapati purata min keseluruhan sebanyak 3.89. Ini menunjukkan kemahiran ICT di kalangan graduan Pendidikan Islam UTM berada pada tahap tinggi.Bagi kemahiran responden terhadap perisian pemprosesan data iaitu Microsoft Word menunjukkan min bagi item ini berada pada tahap yang tinggi iaitu 4.70. Hal ini selaras dengan kajian Lim Geok Ping (2003) di mana 80.3% guru-guru KHB beranggapan bahawa penyediaan nota menggunakan Microsoft Word adalah lebih mudah dan cepat. Begitu juga dengan kajian Harianti Rokman (2006) yang menunjukkan min bagi kemahiran menggunakan Microsoft Word berada pada tahap tinggi iaitu 3.89. Kemahiran dalam perisian penghamparan data untuk tujuan persembahan iaitu Microsoft Power Point juga menunjukkan min berada pada tahap yang tinggi iaitu 4.63. Kajian ini selaras dengan kajian Harianti Rokman (2006) yang menunjukkan guru Pendidikan Islam Zon Skudai mempunyai kemahiran menggunakan Microsoft Power Point dengan dapatan data min sebanyak 4.21. Bagi kemahiran menggunakan perisian Microsoft Excel iaitu perisian hamparan untuk tujuan penyelesaian yang melibatkan pengiraan menunjukkan min bagi item ini berada pada tahap yang tinggi iaitu 4.04. Dapatan ini bertentangan dengan kajian Harianti Rokman (2006) yang menunjukkan kemahiran penggunaan Microsoft Excel berada pada tahap sederhana iaitu dapatan min sebanyak 3.34. Menurut beliau lagi,

43   

hal ini kerana guru Pendidikan Islam lebih menumpukan kepada perisian pemprosesan perkataan dibandingkan dengan hamparan elektronik lain. Judge et al. (1998) menjelaskan seseorang harus mahir dalam penggunaan komputer terutamanya dalam penggunaan word prosessing, hamparan elektronik, membuat persembahan elektronik, menggunakan internet dan menggunakan perisian bagi tujuan pembelajaran. Namun begitu berlainan pula bagi kemahiran menggunakan perisian Microsoft Access yang menunjukkan dapatan min berada pada tahap sederhana iaitu 3.39. Hal ini mungkin disebabkan Microsoft Access kurang digunakan dalam P&P, sebaliknya digunakan untuk menguruskan pengkalan data dalam pengurusan sekolah. Menurut Supyan Hussin (2003), para guru di sekolah perlulah dilengkapkan dengan kemahiran-kemahiran lanjutan selain daripada kemahiran aplikasi komputer yang hanya tertumpu kepada pemprosesan perkataan (contohnya, Word), pangkalan data (contohnya, Dbase, Access). Bagi kemahiran berkaitan internet pula menunjukkan min bagi kelima-lima item berada pada tahap tinggi. Kesimpulan yang dibuat menunjukkan kebanyakan responden mempunyai kemahiran yang tinggi dalam membangunkan laman web (3.68), menggunakan enjin pencarian (4.20), menggunakan emel (4.52), menggunakan perisian chating (4.11), menggunakan ruangan forum di internet (3.88). Dapatan ini bertentangan dengan kajian Ranjit Kaur (2002) yang mendapati penggunaan kemudahan-kemudahan internet masih ditahap yang kurang memuaskan dan terhad kepada penggunaan kemahiran asas internet sahaja. Kemudahankemudahan yang telah disenaraikan seperti mengakses maklumat menggunakan enjin pencari maklumat, emel, laman web, institusi pendidikan, ICT, pengajaran dan pembelajaran dan kegemaran lain didapati tidak digunakan sepenuhnya malah terhad kepada tapak-tapak yang tertentu sahaja. Begitu juga dengan kajian Yahya Othman, Roselan Baki (2007), sampel kajian mengakui mereka kurang mampu menggunakan internet (min 2.80) dan ini mengakibatkan mereka kurang menggunakan (min 2.81) internet di dalam pengajaran.Begitu juga kemahiran mengendalikan sistem pengoperasian komputer Microsoft Window XP dan Window VISTA menunjukkan min berada pada tahap tinggi iaitu masing-masing 4.24 dan 3.71. Kebanyakan sistem komputer peribadi menggunakan sistem pengoperasian Microsoft Window XP dan VISTA berbanding sistem pengoperasian komputer lain. Bagi kemahiran membangunkan CD ROM Pembelajaran atau PBK, kajian menunjukkan min berada pada tahap sederhana iaitu 3.60. Kajian ini selaras dengan dapatan kajian Harianti Rokman (2006) juga menunjukkan min berada pada tahap sederhana iaitu 3.25 di mana seramai 41.1% responden mempunyai pengetahuan dalam membina perisian PBK. Menurut Muhammad Zawawi Md Nordin (2003) dalam kajiannya mendapati kemahiran komputer di kalangan guru adalah berada pada tahap sederhana terutama kemahiran menyediakan perisian PBK. Bagi kemahiran menggunakan perisian teknologi grafik Adobe Photoshop menunjukkan tahap penguasaan responden berada pada tahap tinggi iaitu 3.88. Kajian ini ditentang oleh dapatan kajian Muhammad Hassan Ab Rahman (1998) yang mendapati hanya 19.0% guru sahaja yang mahir menggunakan perisian grafik. Manakala bagi perisian animasi menunjukkan penguasaan kemahiran perisian ini berada pada tahap sederhana iaitu min bagi perisian animasi sebanyak 3.44. Menurut Junaidah Mohamed Kassim, Rasyidah Haji Anuar (2006), animasi adalah satu bidang yang kompleks dan memerlukan pemahaman yang mendalam untuk menguasainya. Begitu juga dengan penguasaan perisian penyuntingan audio (3.64) dan video (3.61) berada pada tahap sederhana. Menurut Ahmad Rizal Madar dan Yahya Buntat (2007), elemen audio dikatakan mampu menimbulkan suasana yang lebih menarik dan akan menghasilkan tumpuan yang lebih terhadap apa yang ingin dipersembahkan dan penggunaan video dalam proses penyampaian maklumat berupaya untuk mempengaruhi perasaan dan emosi para penggunanya dengan lebih nyata. Dalam mengaplikasikan teknologi dalam pendidikan, gabungan audio, video, animasi dan sebagainya telah menarik perhatian para pelajar dan sekaligus dapat membantu para pelajar memahami input yang diterima dengan lebih mudah. Manakala bagi kemahiran mengendalikan perkakasan ICT dan mengendalikan LCD projektor menunjukkan tahap penguasaan yang tinggi iaitu 4.11 dan 3.84. Kajian ini disokong oleh kajian Harianti Rokman (2006) yang menunjukkan guru Pendidikan Islam tahu menggunakan perkakasan komputer dengan min sebanyak 3.89. Manakala kajian mendapati kemahiran mengesan permasalahan alatan dan perisian ICT berada pada tahap sederhana iaitu 3.46. Dapatan ini juga disokong oleh kajian Megat Aman Zahiri Megat Zakaria et al. (2007) di mana pelatih yang masih kekurangan kemahiran terutama dalam aspek pengendalian perkakasan ICT (tahap sederhana dengan min 3.62) dan aspek pengesanan masalah alatan/perisian ICT (tahap sederhana dengan min 3.48). Dapatan ini juga disokong oleh kajian Harianti Rokman (2006) di mana guru sentiasa memerlukan bimbingan pakar sekiranya mereka berhadapan dengan masalah komputer. Bagi kemahiran menggunakan sistem rangkaian file sharing dan FTP menunjukkan kedua-duanya berada pada tahap sederhana iaitu masing-masing mempunyai min sebanyak 3.46 dan 3.52. Pada pandangan penyelidik, penggunaan kedua-dua sistem ini kurang diaplikasikan dalam sistem

44   

pendidikan di sekolah-sekolah tetapi di peringkat institusi pengajian tinggi digunakan untuk mendapatkan bahan pengajaran dan pembelajaran. Dapatan kajian bagi tahap penguasaan kemahiran ICT di kalangan graduan Pendidikan Islam UTM mendapati purata min keseluruhan sebanyak 3.89. Ini menunjukkan tahap penguasaan kemahiran ICT di kalangan graduan Pendidikan Islam UTM berada pada tahap tinggi.

Masalah Pengaplikasian ICT Dalam P&P Dapatan kajian bagi masalah pengaplikasian ICT dalam P&P dinyatakan seperti Jadual 3 di bawah. Jadual 4: Min Masalah Pengaplikasian ICT Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Bil Butiran Min 48 Saya menghadapi masalah menaip tulisan jawi menggunakan komputer 4.15 49 Saya mempunyai perasaan fobia menggunakan komputer 4.70 50 Sekolah saya tidak mempunyai kemudahan komputer untuk P&P 4.09 51 Saya tidak berminat menggunakan ICT dalam P&P saya 4.63 52 Saya tidak bersedia menggunakan ICT dalam P&P saya 4.54 53 Saya tidak mempunyai komputer peribadi untuk menggunakan ICT 4.27 dalam P&P saya 54 Saya memerlukan kursus untuk meningkatkan kemahiran ICT saya 3.48 55 Saya tidak mempunyai masa dalam menyediakan bahan pengajaran 3.55 menggunakan ICT. 56 Saya sukar mendapatkan rujukan ICT di tempat kerja saya 3.70 57 Saya sukar mendapat bimbingan dan tunjuk ajar berkaitan ICT di 3.75 sekolah saya 58 P&P menggunakan ICT memerlukan masa yang lama untuk 3.57 memulakan pengajaran. 59 Pihak pentadbiran tidak menyediakan kemudahan internet di tempat 4.07 kerja 60 Saya tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang ICT 4.01 61 Keadaan komputer sering bermasalah untuk digunakan 3.87 MIN KESELURUHAN 4.03 Dapatan kajian bagi masalah pengaplikasian ICT dalam P&P di kalangan graduan Pendidikan Islam UTM mendapati purata min keseluruhan adalah sebanyak 4.03. Ini menunjukkan masalah penggunaan ICT dalam P&P di kalangan graduan Pendidikan Islam UTM berada pada tahap tinggi. 13 item negatif dibentuk dalam soal selidik bagi objektif kajian ini. Skala bagi item negatif ditukar mengikut nilai skor rendah iaitu 5 dan skor tinggi iaitu 1. Hasil dapatan mendapati purata min keseluruhan tinggi iaitu 4.03. Ini menunjukkan masalah pengaplikasian ICT dalam P&P di kalangan graduan Pendidikan Islam UTM adalah rendah. Bagi permasalahan berkaitan sikap menunjukkan responden bersikap positif dalam pengapliksian ICT dalam P&P. 91% responden tidak mempunyai perasaan fobia menggunakan komputer dengan min sebanyak 4.70. Kajian ini disokong oleh kajian Zuraidah Abdullah dan Julia Bujang (2007) yang mendapati masalah fobia komputer dalam kalangan guru sekolah rendah daerah Melaka Tengah adalah rendah. Seterusnya dapatan kajian ini menunjukkan 90.2% responden pula berminat menggunakan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam dan 86.9% responden bersedia menggunakan ICT dan pengajaran dan pembelajaran. Namun bagi kajian Harianti Rokman (2006) menunjukkan hanya 62.5% guru Pendidikan Islam yang bersikap positif berminat menggunakan komputer dalam membuat kerja yang berkaitan pengajaran dan pembelajaran. Menurut Kamalularifin et al. (2006), punca tidak yakin pada diri sendiri dan takut untuk mencuba sesuatu yang baru juga menjadi penghalang utama untuk mendalami ilmu komputer dan internet. Dapatan ini menunjukkan responden tidak mempunyai masalah berkaitan sikap dalam mengaplikasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran. Namun begitu, responden tidak mempunyai masa dalam menyediakan bahan pengajaran menggunakan ICT mendapati min berada pada tahap sederhana iaitu 3.55. Pernyataan ini disokong oleh kajian Lim Geok Ping (2003), di mana 66.2% guru KHB menyatakan mereka tidak mempunyai masa untuk menggunakan komputer di sekolah kerana terlibat dengan tugas-tugas lain. Menurut kajian Yahya

45   

Othman, Roselan Baki (2007), guru juga menghadapi masalah dalam pengajaran berbantukan komputer kerana banyak masa perlu diberikan dalam menyediakan bahan (min 3.98). Bagi permasalahan pengetahuan ICT pula menunjukkan 43.4% responden sukar mendapatkan rujukan ICT di tempat kerja. 42.6% responden pula menyatakan sukar mendapatkan bimbingan dan tunjuk ajar berkaitan ICT di sekolah. Kajian ini menunjukkan 76.2% responden bersetuju bahawa mereka memerlukan kursus untuk meningkatkan kemahiran ICT. Dapatan ini disokong oleh Mona Masood dan Nor Azilah Ngah (2007) yang menunjukkan bahawa guru-guru memerlukan latihan dalam topiktopik grafik (2D dan 3D) (87%), animasi (83.6%), hamparan elektronik (83.5%) dan sekuriti (80.9%). Dapatan ini selaras dengan kajian Harianti Rokman (2006) juga menunjukkan hampir keseluruhan guru Pendidikan Islam bersedia mengikuti kursus, bengkel atau seminar komputer dengan min sebanyak 4.59. Ini menunjukkan responden memerlukan bimbingan dari pakar-pakar mengenai teknologi ICT dan memerlukan bantuan sekiranya menghadapi masalah berkaitan teknologi ICT. Menurut Razali Ismail (2001), tahap pengetahuan dan kemahiran penggunaaan komputer yang sistematik di kalangan guru adalah sangat rendah. Bagi permasalahan penggunaan ICT dalam P&P disebabkan masalah teknikal pula menunjukkan hanya 32.8% responden sahaja yang menyatakan keadaan komputer sering bermasalah untuk digunakan. Di samping itu juga, P&P menggunakan ICT memerlukan masa yang lama untuk memulakan pengajaran disokong oleh 45.9% responden. Bagi masalah berkaitan persekitaran pula menunjukkan 27.9% responden menghadapi masalah sekolah mereka tidak menyediakan kemudahan komputer untuk P&P. Kajian Roslaili Awang Nik (2007) juga mendapati masalah dan faktor penghalang guru-guru pelatih menggunakan elemen ICT semasa latihan mengajar adalah kekurangan kemudahan ICT di sekolah tersebut. Namun, tindakan kerajaan meluluskan pakej rangsangan bernilai RM4.3 bilion bagi tujuan pembinaan makmal-makmal komputer di lebih 2000 sekolah di seluruh negara juga memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk memajukan bidang pendidikan selaras dengan teknologi ICT yang semakin berkembang (Utusan Malaysia, 27 September 2001). Manakala bagi kemudahan internet di kawasan sekolah menunjukkan 72.9% bersetuju bahawa tiada kemudahan internet di sekolah mereka. Menurut Jaya Kumar (2001), ketiadaan akses kepada internet serta talian akses yang perlahan merupakan cabaran yang dirasai di sekolah-sekolah tertentu. Begitu juga sekolah yang tidak mempunyai komputer (kecuali untuk urusan pentadbiran) atau kuasa elektrik memberikan cabaran yang hebat dalam pelaksanaan 'e-learning'. Bagi permasalahan lain seperti masalah menaip tulisan jawi yang khususnya digunakan dalam P&P Pendidikan Islam mendapati 73.8% responden tidak mempunyai masalah untuk menaip tulisan jawi menggunakan komputer. Dapatan ini bertentangan dengan kajian Harianti Rokman (2006) yang mendapati tidak semua responden cekap menggunakan tulisan jawi berkomputer. Min kajian beliau berada pada tahap sederhana iaitu 3.57.

CADANGAN DAN KESIMPULAN KAJIAN. Berdasarkan kepada dapatan-dapatan yang telah diperolehi, penyelidik mengemukakan beberapa cadangan sebagai maklum balas kepada kajian yang telah dijalankan. Semoga cadangan yang diberikan dapat membantu meningkatkan pengaplikasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran di kalangan guru-guru Pendidikan Islam khususnya dan semua guru di pelbagai bidang pengajaran amnya. Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia Pihak kementerian pelajaran seharusnya menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran berkomputer yang bersesuaian dengan silibus pendidikan terkini. Contohnya BBM berkomputer, perisisan PBK dan sebagainya bagi menggalakkan guru-guru mengaplikasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu juga, pihak kementerian seharusnya memastikan segala kelengkapan teknologi dalam pendidikan disediakan dan diselenggara dengan baik di setiap sekolah bagi meningkatkan mutu pengajaran menggunakan teknologi ICT dapat diaplikasikan di seluruh Negara dengan lebih berkesan. Dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan bestari di sekolah pihak BPG KPM seharusnya mendalami dasar pendidikan untuk melahirkan guru yang berkemahiran dalam ICT untuk meningkatkan kualiti guru dalam memartabatkan pendidikan Malaysia setaraf pendidikan antarabangsa. Selain itu, hasil kajian ini juga dapat membantu KPM dalam merancang, melaksana dan memantau pelaksanaan kurikulum semasa selaras dengan kemajuan teknologi kini. Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia

46   

Pihak Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia juga diharapkan melahirkan bakal guru yang berkualiti tinggi dalam bidang pengkhususan mereka di samping meningkatkan prestasi dan kualiti guru-guru berkemahiran ICT bagi memenuhi keperluan guru di Malaysia. Di samping itu juga, pihak fakulti hendaklah merangka dan merancang strategi dalam memberikan pendedahan ilmu pengetahuan, kemahiran ICT, dan kaedah pengaplikasian teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan kepada pelajar-pelajar Fakulti Pendidikan bagi melahirkan bakal guru yang berkemahiran tinggi serta mampu berdepan dengan pelbagai masalah dan rintangan dalam mengharungi kerjaya mereka yang sebenar kelak. Guru Pendidikan Islam Cadangan kepada semua guru terutamanya guru pendidikan Islam dalam meningkatkan kualiti guru Pendidikan Islam yang bukan sahaja mahir dalam ilmu agama, malahan ilmu teknologi maklumat masa kini. Kajian ini mencadangkan guru Pendidikan Islam dapat meningkatkan lagi kemahiran ICT dan keprofesionalan mereka dalam menjalankan tanggungjawab sebagai guru yang berkualiti untuk pendidikan negara. Mereka juga diharapkan pengaplikasikan segala ilmu yang dipelajari bagi membuktikan bahawa guru Pendidikan Islam juga mampu menguasai bidang teknologi ICT dalam pendidikan Negara. PENUTUP Kertas kerja ini dijalankan adalah untuk mengenalpasti tahap pengaplikasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam, tahap penguasaan kemahiran ICT dan masalah berkaitan penggunaan ICT dalam P&P di kalangan graduan Pendidikan Islam UTM. Penyelidik berpendapat sekiranya guru Pendidikan Islam mengintergasikan teknologi ICT dalam pengajaran dan pembelajaran secara sistematik, maka akan melahirkan mutu Pendidikan Islam yang tinggi di Malaysia. Hal ini selari dengan hasrat kerajaan yang berusaha membestarikan pendidikan di sekolah-sekolah. Oleh itu, diharapkan kajian ini sedikit sebanyak dapat membantu pihak-pihak tertentu dalam mengorak langkah memartabatkan Pendidikan Islam khususnya dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dalam pendidikan seiring dengan kemajuan teknologi yang semakin mengembang. RUJUKAN Aida Sazlin Binti Mohd Salleh (2006). Persepsi Pelajar Tahun 4 SPI Terhadap Mata pelajaran Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (TMK) Dalam Kurikulum SPI. Universiti Teknologi Malaysia: Tesis Sarjana Muda. Ahmad Rizal Madar, Yahya Buntat (2007). Keupayaan Visualisasi Pelajar Melalui Perisian Animasi Grafik. Kertas Kerja 1st International Malaysian Educational Technology Convention, Senai Johor Bahru, 2nd-5th November. Baharuddin Aris, Mohamad Bilal Ali, Norah Md Noor, Mohd Nihra Haruzuan Mohd Said, Noor Azean Atan, Manimegalas Subramaniam & Zaleha Abdullah (2003). Sains Komputer Teknik & Teknologi . Kuala Lumpur : Venton Publishing. Buniyah Bin Iman (2000). Satu Tinjauan Mengenai Penggunaan Komputer Di Kalangan Guru-guru Sekolah Menengah Agama Negeri, Daerah Kuala Terengganu. Universiti Teknologi Malaysia: Tesis Sarjana Muda Hokanson, B., & Hooper, S. (2004). Levels Of Teaching: A Taxonomy For Instructional Design. Educational Technology, 44(6), 14-22. Hamdan Bin Mohd Nawawi (2003). Penggunaan Komputer Dan Internet Dalam Proses Pengajaran Dan Pembelajaran Oleh Guru Di Sekolah Menengah Teknik Di Seluruh Negeri Kelantan. Universiti Teknologi Malaysia: Tesis Sarjana Muda. Harianti Binti Rokman (2006). Kesediaan Guru Pendidikan Islam Terhadap Penggunaan Komputer Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Di Sekolah Menengah Kebangsaan Zon Skudai Johor Bahru. Universiti Teknologi Malaysia: Tesis Sarjana Muda. Jane Lasarenko (1997). Internet (Computer Network) In Education. Teaching; Education; Computer Network Resources. Jamaludin Badusah, Muhammad Hussin & Abd, Rasid Johar. (2000). Inovasi Dan Teknologi Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran. Selangor: AJM Publishing Enterprise.

47   

Jamaluddin Harun, Zaidatun Tasir, (2005). Multimedia Konsep & Praktis. Kuala Lumpur: Venton Publishing Sdn. Bhd. Judge.G, Jaffry. S, Fysh.D (1998), Identifiying And Assesing Key Computing Skills For Economic Students. Journal Computer in Higher Education Economics review, vol 12 issue 2. Junaidah Mohamed Kassim, Rasyidah Haji Anuar (2006). Pembangunan Model Peka Bagi Perisian Kursus E-Pembelajaran Animasi 3D. Kertas Kerja SITMA 2006, 19-20 August, Terengganu, Malaysia. Kamalularifin Subari, Muhammad Sukri Saud, Adnan Ahmad Mohd Ali Jemali (2006). Tahap Keterampilan Emosi Guru-Guru Pelatih Opsyen Kemahiran Hidup Kursus Perguruan Lepasan Ijazah Dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia Di Dua Buah Maktab Negeri Johor. Kertas Kerja Seminar TVE06, 09-10 Desember 2006, Hotel Sofitel Palm Resort Senai Johor. (Tidak diterbitkan). Krejcie, R.V. & D.W. Morgan. (1970). Determining Size For Research Activities. Educational And Psychological Measurement. Lukman Bin Dinyati (2008). Persepsi Guru-Guru Pendidikan Islam Terhadap Penggunaan ICT Untuk Tujuan Pengajaran Dan Pembelajaran Sekolah Kebangsaan Di Daerah Kluang. Universiti Teknologi Malaysia: Tesis Sarjana Muda. Lim Geok Ping (2003). Penggunaan Komputer Di Kalangan Guru-guru Kemahiran Hidup Bersepadu Di Sekolah Menengah Luar Bandar Daerah Kuantan Satu Tinjauan. Universiti Teknologi Malaysia: Tesis Sarjana Muda. Mahizer Hamzah (2007). Keberkesanan Penggunaan Perbincangan Atas Talian Dalam Portal My Guru 2 Terhadap Pembelajaran Di UPSI. Kertas Kerja 1st International Malaysian Educational Technology Convention, Senai Johor Bahru, 2nd-5th November. Megat Aman Zahiri Megat Zakaria, Baharudin Aris , Jamaludin Harun (2007). Kemahiran ICT Di Kalangan Guru-Guru Pelatih UTM : Satu Tinjauan. Kertas Kerja 1st International Malaysian Educational Technology Convention, Senai Johor Bahru, 2nd-5th November Muhammad Hassan Ab Rahman (1998). Tahap Pengetahuan dan Penggunaan Komputer Untuk Pengajaran di Kalangtan Guru Sekolah dalam Majalah Wawasan Kuala Lumpur: Bistari Publishers. Muhammad Zawawi Bin Md Noordin (2003). Penggunaan Komputer Dalam Proses Pengajaran Dan Pembelajaran Di Sekolah Bestari Negeri Johor. Universiti Teknologi Malaysia: Tesis Sarjana. Pallant, Julie (2007). SPSS Survival Manual. London: Open University Press. Second Edition. Rashidi Azizan & Abdul Razak Habib (1997). Hubungan Antara Stail Pembelajaran Dengan Pencapaian Sains Dan Matematik Sekolah Menengah Rendah. Jurnal Pendidikan, 22, 39-49. Razali Ismail (2001). Enhancing Digital Education In Terengganu: The Ti Man Approach. Ranjit Kaur A/P Gurdial Singh, Chua Lay Siok (2002). Tinjauan Penggunaan Internet Di Kalangan Guru Pelatih Institut Bahasa Melayu Malaysia (IBMM) Ke Arah Pembelajaran Elektronik. Kertas Kerja Seminar Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dalam Pendidikan, MPBL. Roslaili Binti Awang Nik (2007). Penggunaan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (ICT) Di Kalangan Guru Pelatih UTM Semasa Latihan Mengajar. Universiti Teknologi Malaysia: Tesis Sarjana Muda. Roslaini Binti Anuar (2006). Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran Di Kalangan Pensyarah PPIPS. Universiti Teknologi Malaysia: Tesis Sarjana Muda. Shaharuddin Md Salleh, Zaidatun Tasir, Baharuddin Aris (2007). Simulasi Menerusi Web : Persepsi Pelajar Terhadap Pembelajaran WWWS. Kertas Kerja 1st International Malaysian Educational Technology Convention, Senai Johor Bahru, 2nd-5th November. Supyan Hussin (2003). Pengaturcaraan untuk Guru Bahasa Inggeris: Pembangunan Bahan Pembelajaran Berbantukan Komputer Berasaskan Web. Kertas Kerja Prosiding Bengkel Sains Pengaturcaraan: Pembelajaran & Pengajaran Pengaturcaraan di Malaysia. Supyan Hussin, Afendi Hamat & Nackeeran Sivapunniam (2002). The Use Of Internet Among Language Instructors In The Classrooms At Higher Institutions Of Learning In Malaysia (V/2/95). Kertas Kerja PPBL-FSSK-UKM. UNESCO (2003). ICT Policies of Selected Countries is the Asia-Pacific. UNESCO. Retrieved, dari laman web: www.unesco.org dilayari pada 20 Ogos 2008 10.31 am. Utusan Malaysia (2001). Teknologi Pendidikan: Macromedia Realisasikan Pembelajaran Interaktif. 2001. 27 September: 11.

48   

Yahya Othman, Roselan Baki (2007). Aplikasi Komputer Dalam Pengajaran Bahasa: Penguasaan Guru Dan Kekangan Dalam Pelaksanaan. Kertas Kerja 1st International Malaysian Educational Technology Convention, Senai Johor Bahru, 2nd-5th November. Zawawi Hj. Ahmad (1990). Strategi Pengajaran Pendidikan Islam KBSM. Edisi Kedua. Petaling Jaya : Fajar Bakti. Zuraidah Abdullah, Julia Bujang (2007). Masalah Fobia Terhadap Komputer Dalam Kalangan Guru Sekolah Rendah: Kajian Kes. Kertas Kerja 1st International Malaysian Educational Technology Convention, Senai Johor Bahru, 2nd-5th November.

49